KUCHING, 31 Ogos: Kejohanan Bola Sepak Belia Tertutup PETRONAS (PYFCT) 2025 yang memasuki minggu keenam penganjurannya semakin rancak dengan aksi-aksi pasukan yang bertanding.
Aksi sengit di padang berselang-seli dengan keriuhan penonton di segenap ruangan stadium, membuktikan bahawa sukan bola sepak ini sememangnya sukan yang dicintai, selain menyatupadukan semua warga tanpa mengira usia juga latar belakang.
Jurulatih pasukan Al Matteen, Mohd Farith Abdul Rahman, 37, melihat PYFCT 2025 ini bukan sekadar medan melahirkan bakat-bakat baharu sukan bola sepak, malah turut menjurus kepada pembentukan sahsiah diri pemain secara holistik.
“Selain untuk menambahbaik program pembangunan bola sepak peringkat negeri, kita turut dapat membentuk pemain-pemain muda ini terutama dari sudut sikap serta nilai-nilai moral seperti disiplin semasa waktu latihan, juga semangat kerjasama dan adab semasa di atas padang.
“Pada masa yang sama, kita juga mengajar teknik permainan asas bola sepak yang betul kepada pemain ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS pada perlawanan PETRONAS Sarawak Kategori Bawah Umur (PSK) 14 Tahun semasa Kejohanan Bola Sepak Belia Tertutup PETRONAS (PYFCT) 2025 di Stadium Sarawak, di sini, hari ini.
Penglibatan anaknya, Aisy Dzaqwann, 13, yang mewakili pasukan Al Mateen dalam kejohanan PYFCT 2025 merupakan satu tanda restu juga sokongan yang ditunjukkan oleh pekerja swasta, Khairul Hisham Ismail, 41, untuk terus mengembangkan minat juga menggilap potensinya dalam sukan itu.
“Program ini amat bagus untuk anak saya menerapkan amalan kesihatan di usia muda ini.
“Pada masa yang sama, dia juga belajar cara mendengar juga menerima arahan, juga erti bekerjasama dalam satu pasukan dan tentunya meningkatkan disiplin diri,” ujarnya.
Sementara bagi penjawat awam, Norliyana Yusup, 41, program bola sepak seperti ini perlu diteruskan untuk tahun-tahun mendatang.
“Program seperti ini, khasnya sukan bola sepak yang amat dikenali juga diminati oleh semua, patut diteruskan khasnya di Sarawak. Menerusi program ini, kita dapat melahirkan para pemain pelapis baharu negeri ini dan saya rasa ia patut diteruskan saban tahun,” katanya.-TVS
https://www.tvsarawak.my/2025/08/31/pyfct-2025-bentuk-sahsiah-diri-pemain-muda/?fbclid=IwVERTSAMqRaZleHRuA2FlbQIxMAABHotyKJRKx5T-oaR4Y-1nGp8aWd9kM0Eyk14nqG_8E0DVveVv2tllDL5d56kS_aem_24UBAbp_8h38AiYJM0oNXQ&sfnsn=wa



