September 7, 2025 | 19:50
PETRONAS YOUTH FOOTBALL CLOSED TOURNAMENT 2025
By:TVS
PYFCT 2025: Medan cungkil bakat baharu bola sepak

KUCHING, 7 Sept: Kejohanan Bola Sepak Belia Tertutup Petronas (PYFCT) 2025 menjadi platform penting dalam mencungkil bakat dan melahirkan pemain berkualiti di peringkat akar umbi.

Jurulatih PFA Odin Coach Academy, Zamuri Hazmi berkata, anak didiknya menunjukkan perkembangan positif apabila berjaya mencatat kemenangan dalam aksi semalam.

“Alhamdulillah kali ini kita dapat menjaringkan gol dan meraih kemenangan. Prestasi pemain juga semakin meningkat dari semasa ke semasa, manakala penganjur turut menambah baik kejohanan agar lebih kompetitif,” katanya kepada TVS.

Jurulatih Axis Academy, Sufian Ibrahim turut menyifatkan prestasi pasukannya memuaskan dengan peningkatan ketara dapat dilihat pada setiap perlawanan.

“Ada perkembangan positif dari perlawanan ke perlawanan dan ia menunjukkan peningkatan prestasi yang jelas,” ujarnya sambil mencadangkan kejohanan seperti itu dianjurkan lebih kerap, sekurang-kurangnya empat kali setahun.

Sementara itu, pembantu jurulatih Basic Soccer Development, Mohammad Abqari Jeffery Mohammad Shaffiee berkata, komitmen tinggi ditunjukkan pasukannya meskipun berdepan kecederaan pemain.

“Mereka tetap bersemangat dan menunjukkan peningkatan yang baik. Untuk perlawanan akhir nanti, kami akan cuba buat yang terbaik,” jelasnya.

Kejohanan PYFCT 2025 bukan sahaja memberi peluang pemain muda menimba pengalaman, malah memperkasa pengurusan akademi dan jurulatih ke arah pembangunan bola sepak negara.-TVS

https://www.tvsarawak.my/2025/09/07/pyfct-2025-medan-cungkil-bakat-baharu-bola-sepak/