BINTULU, 23 Nov: Petronas Youth Football Closed Tournament (PYFCT) 2025 Bintulu melabuhkan tirainya hari ini selepas berlangsung selama enam minggu melibatkan 23 pasukan bagi kategori 14 dan 16 tahun ke bawah.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif ASEAN Bintulu Fertilizer (ABF), Lawai Jok, selaku pengerusi penganjur, berkata kejohanan tersebut berjaya menyediakan platform penting dalam mencungkil bakat generasi muda terutamanya dari zon tengah dan utara Sarawak.
“Platform ini bukan hanya untuk menunjukkan bakat, tetapi juga untuk mereka berinteraksi. Objektif kita sememangnya untuk pembangunan belia. Saya sangat gembira kerana kerjasama pasukan Petronas dengan BIFA, Kuching City dan agensi-agensi lain di Bintulu telah menjayakan program ini sepanjang enam minggu, termasuk rakan kongsi UPM yang menyediakan padang sebelum kita ke Stadium Bintulu hari ini,” katanya selepas Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan yang diadakan di Stadium Bintulu.
Sementara itu, Timbalan Residen Bintulu, Abang Zainudin Abang Turkey berkata, penganjuran oleh Petronas memberi nafas baharu kepada pembangunan bola sepak tempatan, khususnya di Bintulu dan Sarawak amnya.
“Seperti yang dapat dilihat, Petronas memberikan sokongan sepenuhnya kepada kejohanan ini. Kita berharap ia dapat diteruskan lagi pada tahun-tahun mendatang,” katanya.
PYFCT 2025 Bintulu bermula pada 4 Oktober lalu dengan penyertaan 11 pasukan bagi kategori 14 tahun ke bawah dan 12 pasukan bagi kategori 16 tahun ke bawah.
Kesemua perlawanan sebelum aksi final hari ini berlangsung di Padang Bola Sepak Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) Bintulu.



![[LIVE] Team Introduction of PETRONAS Youth Football Closed Tournament 2025 Bintulu Edition](https://firebasestorage.googleapis.com/v0/b/copafacil-web.appspot.com/o/evts%2F-8yvys%2F9005439617192574.png?alt=media)