November 3, 2025 | 19:29
PETRONAS YOUTH FOOTBALL CLOSED TOURNAMENT 2025
By:TVS
WFL United, My Soccer Kids teruskan dominasi

WFL United, My Soccer Kids teruskan dominasi

KUCHING, 3 Nov: Kejohanan PETRONAS Youth Football Closed Tournament (PYFCT) 2025 Edisi Bintulu terus menjadi tumpuan apabila Akademi Bolasepak WFL United dan My Soccer Kids meneruskan dominasi masing-masing dalam kategori bawah 14 tahun dan bawah 16 tahun pada aksi pusingan keempat dan kelima hujung minggu lalu.

Bertempat di Padang UPM Kampus Bintulu, kejohanan tersebut menyaksikan persaingan sengit dan semangat kesukanan tinggi dalam kalangan pemain muda yang bersaing untuk merebut tempat ke PETRONAS Youth Football Champions League (PYFCL) yang dijadual berlangsung Disember ini.

Penganjuran PYFCT 2025 merupakan komitmen berterusan PETRONAS bersama Kerajaan Sarawak dalam memperkasa pembangunan belia melalui sukan khususnya bola sepak sebagai platform melahirkan generasi muda berdisiplin, berdaya saing dan berpasukan.

Dalam saingan bawah 14 tahun, perebutan takhta liga semakin sengit antara WFL United dan Akademi Bolasepak Mukah (C) FA, dengan kedua-dua pasukan mengumpul 15 mata selepas lima perlawanan.

Namun, kelebihan perbezaan jaringan meletakkan WFL United kekal di tangga teratas.

Sementara itu, My Soccer Kids terus mengukuhkan kedudukan di puncak carta kategori bawah 16 tahun selepas mencatat dua kemenangan bergaya pada hujung minggu lalu, mengekalkan rekod cemerlang serta kesiapsiagaan menjelang pusingan akhir.

Walaupun kedua-dua pasukan pendahulu selesa di kedudukan teratas, persaingan merebut tiga slot ke Liga Juara-Juara Bola Sepak Belia PETRONAS (PYFCLT’25) di Kuching masih terbuka luas.

Dengan hanya dua hujung minggu perlawanan berbaki sebelum aksi penutup pada 22 dan 23 November ini, pasukan lain dijangka tampil dengan strategi terbaik bagi menempatkan diri dalam zon kelayakan.

Orang ramai boleh memuat turun aplikasi Easy Tournament dan mencari PETRONAS Youth Football Closed Tournament 2025 untuk mengikuti jadual perlawanan, keputusan semasa serta perkembangan pasukan kegemaran mereka secara langsung.

Kejohanan tersebut bukan sahaja menjadi platform pendedahan awal kepada pemain muda berbakat, malah mencerminkan usaha berterusan PETRONAS dan Kerajaan Sarawak dalam menyemai nilai kesukanan serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan generasi muda wilayah ini.-TVS

https://www.tvsarawak.my/2025/11/03/wfl-united-my-soccer-kids-teruskan-dominasi/